Thursday, October 29, 2009

Renungan Hari Jumaat

HIDUP INI.....

"HIDUPKITA CUMA DI DALAM 3 HARI:

Semalam ~ Sudah menjadi sejarah.
Hari Ini ~ Apa yang sedang kita lakukan.
Esok ~ Hari yang belum pasti.

Hisablah hari pertama semoga hari yang kedua kita lebih baik kerana mungkin ajal kita pada hari yang ketiga.

HIDUP CUMA DALAM 2 NAFAS:


Nafas Naik.
Nafas Turun.

Hargailah Nafas yang naik kerana udara yang disedut adalah pemberian Allah secara percuma dan carilah keredhaan~Nya dalam menggunakannya.

Bertaubatlah dalam Nafas yang kedua kerana mungkin itu nafas yang terakhir keluar dari tubuh bersama nyawa dan roh untuk meninggalkan dunia yang fana ini.

HIDUP CUMA ADA 2 PILIHAN :

Hidup dalam keredhaan Allah.
Hidup dalam kemurkaan Allah.


HIDUP YANG ABADI CUMA ADA 2 TEMPAT :

Kekal di dalam neraka.
Kekal di dalam syurga.

Ingatlah kecelakaan Neraka itu amat mengerikan dan kita hanya diyakinkan oleh keyakinan kita kepada 6 Rukun Iman, yang mana seandainya hilang salah satu daripadanya, maka hilanglah ia.

Kelazatan dan kesejahteraan Syurga itu amatlah HEBAT. Tidak terduga oleh fikiran kita bahawa untuk mendapatkannya terjemahkan Rukun ISLAM yang 5 itu dan puncaknya adalah SOLAT….! Amat sukar untuk dipercayai bagi yang amat mengharapkan syurga tetapi tidak bersolat, umpama seorang yang mahu menaiki kapalterbang tetapi tidak mempunyai boarding pass.

Dan mereka yang sengaja melalaikan solat, umpama mengeposkan sepucuk surat tanpa melekatkan setem ... apabila ditanya bagaimana surat itu akan sampai pada penerimanya ... lalu dia pun berkata setemnya akan dihantar kemudian. Justeru dalam hal ini, kebiasaannya 2 kemungkinan sahaja :

Dia mungkin didenda ... atau, suratnya masuk tong sampah..!

Oleh itu, tidakkah kita semestinya bersyukur atas segala nikmat yang Allah kurniakan kepada kita ... Sekurang-kurangnya Allah telah memberi udara secara percuma untuk kita berzikir mengingati~Nya setiap detik dan ketika, hinggalah kita kembali kepadanya dalam keadaan jiwa yang tenang ... lalu masuk kedalam Syurga dalam keadaan kita redha dan Allah meredhai.

Semoga kita semua berbahagia + sejahtera senantiasa ... di dunia jua di akhirat kelak serta di dalam rahmat Allah s.w.t.

Aminn...

Apa dah jadi PKR…??

Nampaknya suhu pergolakan dalaman PKR sudah membuak-buak sehingga sudah tidak dapat dibendung lagi. Kelmarin Datuk Jeffery Kitingan yang merupakan Naib Presiden, ahli Majlis Integrasi Nasional untuk Sabah dan Sarawak serta ahli Majlis tertinggi (MT) parti itu meletakkan semua jawatan dalam PKR.

Sebelum dari itu, Datuk Zaid Ibrahim juga sudah mencetuskan kontroversi dengan menggesa agar PKR tidak didominasi oleh pihak-pihak tertentu dan penyudahnya beliau bertindak ‘bercuti’.

Hari ini pula (lebih kurang jam 5 petang) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang telah mengisytiharkan keluar dari PKR untuk menjadi wakil rakyat bebas dan seterusnya menyokong BN. Beliau telah menggariskan beberapa sebab keluar parti ; antaranya pertikaian beliau dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim serta rasa ‘jelak’ dengan sikap Supremo PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cuba melengah-lengahkan perbicaraan kes liwat beliau dengan Saiful Bahari.

Nampaknya seorang demi seorang pemimpin PKR mula meninggalkan parti. Jelasnya PKR sedang berdepan dengan krisis keyakinan dikalangan kepimpinan dan juga ahlinya. Ini belum lagi ditambah dengan kemerosotan sokongan daripada segi undi rakyat.

Mungkin semua yang berlaku kerana telah ujudnya kesedaran pemimpin PKR bahawa perjuangan dan matlamat parti itu sebenarnya lebih tertumpu kepada 3A iaitu Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Presiden), Datuk Seri Anwar Ibrahim (Penasihat) serta Azmin Ali (Naib Presiden).

3A sering dikaitkan dengan bateri yang nampaknya mula melemah. Daripada terus melemah maka itu, ramai pemimpin PKR terdahulu keluar atau mengasingkan diri daripada parti itu. Kemelut dan kecelaruan ini dijangka akan terus memuncak dan akhirnya populariti PKR telah mula meredum.

Tuesday, October 27, 2009

'Orang munafik, tapi alim lidahnya'

Pemimpin Pas yang dipimpin Datuk Nik Aziz Nik Mat yang dikatakan mursyidul itu terang-terangan mengatakan ahli-ahli UMNO itu tidak Islam.

Sedalam mana ilmu tuan guru yang diagung-agungkan ahli-ahli Pas itu kita sendiri pun tidak tahu. Mereka dengan lantang mengatakan demikian seolah-olah hukum Tuhan dan syurga neraka berada dalam ketentuannya.

Apakah mereka akan lebih Islam jika seseorang itu menghafal dan menyampaikan dua atau tiga ayat al-Quran dalam ceramah atau pun takbir apabila berkumpul ramai? Tetapi selepas itu ayat-ayat al-Quran dan takbir mereka tadi semacam menghalalkan ayat mereka untuk mencaci, memaki hamun pemimpin dan membuat fitnah yang membabi buta selepas itu tanpa memikirkan sensitiviti sekeliling.

Tiada perkara-perkara yang mereka sebutkan untuk meningkatkan syiar Islam dalam negara ini tetapi hanya perkataan yang keji dan kesat yang terhambur demi menghangatkan kempen mereka.

Dirasakan kalau ceramah dan kempen Pas ini lebih berkisar pada hal akhirat, hidup selepas mati, rasanya tidak seramai itu penontonnya, ramai yang telah insaf dan duduk di rumah tidak lepas pegang tasbih sepanjang masa. ''Sesungguhnya apa yang merisaukan sepeninggalanku adalah orang-orang yang munafik tetapi alim lidahnya'' - Hadis catatan Imam Al Tabrani.

Tetapi apabila kempen ceramah lebih kepada maki hamun buat fitnah, itulah yang agaknya yang digemari ramai penyokong Pas itu. Cuba lihat perkara ini dalam kempen mereka, mulut-mulut celupar si tudung labuh yang ada juga mukanya pun bertutup tapi hanya kedengaran suaranya yang mencaci di sebalik tudung hijab, yang jika kita membelakangi mereka, kita sendiri pun tidak percaya suara-suara tersebut datangnya daripada wanita yang bertudung litup itu.

Sesungguhnya tudung litup itu tidak berdaya menutup mulut mereka daripada bercakap yang bukan-bukan seperti perempuan meroyan itu dan juga si kopiah putih yang ada juga berjanggut yang sengaja disimpan biar nampak alim yang kononnya mengikut sunnah tetapi perangai mereka langsung tidak sedikit pun mengikut sunnah, memaki hamun para pemimpin kerajaan walaupun ada antara mereka bekerja dengan kerajaan.

Diharapkan mereka ini segeralah bertaubat dan minta maaf atas keterlanjuran mereka dan tidak menjadi haram gaji mereka diambil tiap bulan diberi makan anak-anak dan bini-bini mereka yang selama ini telah menjadi darah daging mereka.

Lebih baik mereka ini yang menjawat jawatan dalam kerajaan meletak jawatan jika mereka tidak berpuas hati dengan pemerintah.

HARUN HASHIM

Seremban

Friday, October 23, 2009

Masa untuk berubah

Salam 1 Malaysia,

Sudah tentu kita sebagai ahli yang sayang dan komited pada parti UMNO merasa amat

lega diatas pindaan perlembagaan UMNO yang telah selesai dimuktamadkan oleh para perwakilan ke perhimpunan agung UMNO yang lalu.

Walaupun pindaan perlembagaan belum tentu dapat menghapuskan politik wang dalam ertikata yang sebenarnya, namun semangat dan iltizam ahli UMNO untuk melihat pembaharuan dilakukan dalam parti keramat ini sebenarnya menjadi pembakar semangat yang menghasilkan keputusan bersejarah itu.

Inilah cabaran yang terentang dihadapan kita. Sama ada hendak diakui atau tidak populariti UMNO pasca PRU 12 sebagai parti orang Melayu amat tergugat sekali. Oleh itu usaha yang berterusan perlu dilakukan bagi memulihkan imej serta mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap kewibawaan parti kita. Dan dalam melakukan anjakan perubahan ini ia tidak mudah; namun kita perlu melakukannya dan telahpun melakukannya.

Justeru proses pindaan tempohari hendaklah dilihat sebagai satu lembaran baru dalam mengukuhkan semula semangat perjuangan parti keramat ini. Dan kini adalah masa untuk ahli UMNO bingkas bangun dari lena dan berganding bahu bersama-sama YAB Presiden dan saf kepimpinan tertinggi melaksanakan transformasi perubahan, ibarat pahlawan yang mahu masuk ke gelanggang. Walaupun ia tidak mudah, namun ia mesti dilakukan. Dan dalam sebarang keadaan kita tidak mempunyai banyak pilihan selain membulatkan tekad dan azam membantu kepimpinan baru parti kita untuk mendepani segala cabaran dan halangan yang menanti. Ibarat kata azimat Tok Jebat ‘Berpatah sayap bertongkat paruh; namun ku daki ku daki jua’.

Samada kita masih lagi dilanda igauan kejutan yang belum kebah atau kita bingkas bangun menyusun semula langkah ibarat pahlawan yang mahu masuk ke gelanggang

Matlamat yang digariskan oleh Presiden cukup jelas; memenangkan parti kita pada pilihanraya akan datang! Itulah amanah yang harus digalas oleh kita samada ahli biasa maupun yang memegang jawatan dalam parti. Semua harus memainkan peranan dan menyumbangkan apa yang patut dan terdaya dalam menjayakan misi dan matlamat suci ini. Soal sedikit atau banyak tidak menjadi persoalan. Bak kata guruku dulu; jika tidak mampu menjadi bunga mawar yang cantik cukuplah menjadi sehelai rumput yang menutupi bumi. Insya’allah kita mampu melakukannya.