Sudah tentu kita sebagai ahli yang sayang dan komited pada parti UMNO merasa amat
lega diatas pindaan perlembagaan UMNO yang telah selesai dimuktamadkan oleh para perwakilan ke perhimpunan agung UMNO yang lalu.
Walaupun pindaan perlembagaan belum tentu dapat menghapuskan politik wang dalam ertikata yang sebenarnya, namun semangat dan iltizam ahli UMNO untuk melihat pembaharuan dilakukan dalam parti keramat ini sebenarnya menjadi pembakar semangat yang menghasilkan keputusan bersejarah itu.
Inilah cabaran yang terentang dihadapan kita. Sama ada hendak diakui atau tidak populariti UMNO pasca PRU 12 sebagai parti orang Melayu amat tergugat sekali. Oleh itu usaha yang berterusan perlu dilakukan bagi memulihkan imej serta mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap kewibawaan parti kita. Dan dalam melakukan anjakan perubahan ini ia tidak mudah; namun kita perlu melakukannya dan telahpun melakukannya.
Justeru proses pindaan tempohari hendaklah dilihat sebagai satu lembaran baru dalam mengukuhkan semula semangat perjuangan parti keramat ini. Dan kini adalah masa untuk ahli UMNO bingkas bangun dari lena dan berganding bahu bersama-sama YAB Presiden dan saf kepimpinan tertinggi melaksanakan transformasi perubahan, ibarat pahlawan yang mahu masuk ke gelanggang. Walaupun ia tidak mudah, namun ia mesti dilakukan. Dan dalam sebarang keadaan kita tidak mempunyai banyak pilihan selain membulatkan tekad dan azam membantu kepimpinan baru parti kita untuk mendepani segala cabaran dan halangan yang menanti. Ibarat kata azimat Tok Jebat ‘Berpatah sayap bertongkat paruh; namun ku daki ku daki jua’.
Samada kita masih lagi dilanda igauan kejutan yang belum kebah atau kita bingkas bangun menyusun semula langkah ibarat pahlawan yang mahu masuk ke gelanggang
Matlamat yang digariskan oleh Presiden cukup jelas; memenangkan parti kita pada pilihanraya akan datang! Itulah amanah yang harus digalas oleh kita samada ahli biasa maupun yang memegang jawatan dalam parti. Semua harus memainkan peranan dan menyumbangkan apa yang patut dan terdaya dalam menjayakan misi dan matlamat suci ini. Soal sedikit atau banyak tidak menjadi persoalan. Bak kata guruku dulu; jika tidak mampu menjadi bunga mawar yang cantik cukuplah menjadi sehelai rumput yang menutupi bumi. Insya’allah kita mampu melakukannya.
No comments:
Post a Comment