Nampaknya suhu pergolakan dalaman PKR sudah membuak-buak sehingga sudah tidak dapat dibendung lagi. Kelmarin Datuk Jeffery Kitingan yang merupakan Naib Presiden, ahli Majlis Integrasi Nasional untuk Sabah dan Sarawak serta ahli Majlis tertinggi (MT) parti itu meletakkan semua jawatan dalam PKR.
Sebelum dari itu, Datuk Zaid Ibrahim juga sudah mencetuskan kontroversi dengan menggesa agar PKR tidak didominasi oleh pihak-pihak tertentu dan penyudahnya beliau bertindak ‘bercuti’.
Hari ini pula (lebih kurang jam 5 petang) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang telah mengisytiharkan keluar dari PKR untuk menjadi wakil rakyat bebas dan seterusnya menyokong BN. Beliau telah menggariskan beberapa sebab keluar parti ; antaranya pertikaian beliau dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim serta rasa ‘jelak’ dengan sikap Supremo PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cuba melengah-lengahkan perbicaraan kes liwat beliau dengan Saiful Bahari.
Nampaknya seorang demi seorang pemimpin PKR mula meninggalkan parti. Jelasnya PKR sedang berdepan dengan krisis keyakinan dikalangan kepimpinan dan juga ahlinya. Ini belum lagi ditambah dengan kemerosotan sokongan daripada segi undi rakyat.
Mungkin semua yang berlaku kerana telah ujudnya kesedaran pemimpin PKR bahawa perjuangan dan matlamat parti itu sebenarnya lebih tertumpu kepada 3A iaitu Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Presiden), Datuk Seri Anwar Ibrahim (Penasihat) serta Azmin Ali (Naib Presiden).
3A sering dikaitkan dengan bateri yang nampaknya mula melemah. Daripada terus melemah maka itu, ramai pemimpin PKR terdahulu keluar atau mengasingkan diri daripada parti itu. Kemelut dan kecelaruan ini dijangka akan terus memuncak dan akhirnya populariti PKR telah mula meredum.
No comments:
Post a Comment